SEJARAH PEMBUKAAN KUANTAN
Melalui catatan sejarah, Kuantan telah wujud semenjak awal tahun 1850-an. Kewujudan Kuantan pada kurun ke 19 adalah bermula sebagai sebuah penempatan. Kewujudan Kuantan ini telah disentuh oleh Abdullah Munsyi pada tahun 1851/52 seperti berikut:
"Hatta pada malam Khamis datanglah sebuah perahu kecil dari KUANTAN. Maka berkhabarlah ia kepada anak-anak perahu mengatakan ada perahu lanun di Tanjung Tujuh, empat puluh buah dan di Pulau Kapas pun ada, dan di Pulau Redang pun ada, maka telah didapati dua buah perahu orang Kuantan dan dua buah lepas lari.........."
Pada peringkat awalnya Kuantan lebih dikenali dengan nama Kampung Teruntum. Penempatannya adalah di sekitar muara Sungai Kuantan iaitu berhadapan dengan bangunan hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sekarang . Ia telah dibuka oleh Haji Senik dan pengikut-pengikutnya dalam tahun 1850an.Nama Teruntum ini dikatakan berasal dari pokok Teruntum yang banyak terdapat di pinggir Sungai Kuantan pada ketika itu.
Semasa tinggal di sini mereka mengusahakan kawasan paya yang terletak di tapak hospital sekarang disamping menangkap ikan dan berniaga secara kecil-kecilan. Bukti bahawa kawasan tersebut telah dijadikan penempatan ialah Perkuburan Cik Timah berhampiran Taman Esplanade (Benteng) sekarang. Tapak Perkuburan Cik Timah.
Selain dari itu dikesahkan juga bahawa terdapat sebuah perkampungan di hulu Kampung Teruntum yang dibuka pada tahun 1854 oleh orang Melayu dari daerah Sumatera. Mereka diketuai oleh Encik Besar . Tempat ini kemudiannya dikenali dengan nama Kampung Orang Kuantan dan lama kelamaan panggilan ini di pendekkan kepada perkataan "Kuantan" dan kekal sehingga ke hari ini.
PERKEMBANGAN KUANTAN
Arus perkembangan Kuantan dari tahun 1860 hingga 1970 adalah dipengaruhi oleh faktor-faktor berikut:
PUSAT PENGELUARAN DAN PENGUMPULAN HASIL BIJIH TIMAH DAN LAIN-LAIN BAHAN MENTAH.
Kuantan mula membangun apabila bijih timah dijumpai di kawasan Gambang dan Sungai Lembing. Perlombongan bijih timah di Sungai Lembing telah diusahakan semenjak zaman pra-sejarah lagi. Tiada perlombongan secara intensif dijalankan sehingga lah pada abad ke 19 apabila kaum bumiputera dan orang-orang Cina meningkatkan aktiviti mereka di kawasan perlombongan tersebut.
Kawasan perlombongan bijih timah di Gambang telah dibuka oleh orang-orang Cina pada awal tahun 1880an sementara kawasan perlombongan Sungai Lembing pula dibuka pada tahun 1868 oleh Lim Ah Sam (Baba Assam). Pada tahun 1887, ianya telah diusahakan secara intensif oleh Syarikat The Pahang Corporation Limited.
Hasil bijih timah daripada Gambang dibawa ke Kuantan melalui Sungai Belat di Gudang Rasau , manakala hasil daripada Sungai Lembing Lembing pula dibawa ke Pasir Kemudi dengan keretapi dan kemudian diangkut dengan kapal wap ke Kuantan untuk dieksport ke Singapura.
Bagi memenuhi keperluan aktiviti ini, beberapa kawasan di pinggir Sungai Kuantan telah dimajukan sebagai pusat pengurusan dan pengumpulan bahan-bahan mentah ini. Disamping penyediaan kemudahan pelabuhan, pejabat Kastam, pasar, pejabat pentadbiran daerah dan sebagainya yang terletak di sekitar Jalan Besar, Jalan Mahkota dan pinggir Sungai Kuantan.
Dengan corak pembangunan ini, kawasan bandar mula didiami oleh orang-orang Cina, sementara itu orang Melayu yang mula membuka penempatan awal di tebing Sungai Kuantan telah berpindah ke kawasan seperti Tanjung Api, Tanjung Lumpur, Beserah, Tanah Putih dan lain-lain.
PEMODENAN DAN PERUBAHAN DASAR-DASAR PENTADBIRAN
Campurtangan Inggeris di dalam pentadbiran Negeri Pahang pada tahun 1888 telah memulakan era sistem Residen. Melalui sistem ini, pentadbiran Negeri Pahang telah dibahagikan kepada beberapa daerah .
Daerah Kuantan telah ditadbirkan oleh seorang Pegawai Daerah (W.G Maxwell - 1805 hingga 1896) yang mempunyai bidang kuasa yang luas di dalam hal ehwal pembangunan tanah, percukaian dan kemasyarakatan.
Bagi melicinkan pentadbiran daerah, bangunan Pejabat Daerah yang pertama telah didirikan di kawasan Medan Pelancong dan kemudian dipindahkan ke bangunan Pejabat Penghulu (Pajabat Daerah sekarang) di Jalan Masjid pada tahun 1907.
Pada 2 Mac 1953, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang telah membuat keputusan untuk memindahkan pusat pentadbiran negeri di Kuala Lipis ke Kuantan. Dengan daya usaha dan ketegasan YAM Tengku Muhammad Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad, selaku Menteri Besar dan Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein selaku Setiausaha Kerajaan pada masa itu, pada 25 Ogos 1955, KDYMM Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al - Muadzam Shah Ibni Almarhum Al Mutasim Billah Al Sultan Abdullah, DK., SIMP., DMN,. DK. (Brunei), DK. (Johor), DK. (Kedah), DK. (Perak), G.C.M.G., dengan rasminya telah mengistiharkan Kuantan sebagai Ibu Negeri Pahang yang baru.
Sebagai pusat pentadbiran, pejabat-pejabat kerajaan dan segala bentuk kemudahan telah diadakan di kawasan sekitar Jalan Gambut dan Jalan Masjid sementara itu rumah-rumah kerajaan (kuarters) telah dibina di sekitar Jalan Telok Sisek, Jalan Tanah Putih, Jalan Haji Abdul Rahman dan Jalan Dato' Lim Hoe Lek daripada tahun 1948 hingga 1970an.
ASAL USUL NAMA TEMPAT
TELUK SISEK Kawasan ini asalnya adalah sebuah teluk. Berhampiran dengannya terdapat sebuah bukit yang menganjur ke teluk. Di kawasan kaki bukit inilah selalunya "penyu-penyu sisek" mendarat untuk bertelur. Zaman beredar dan melalui proses pembentukan muka-bumi, teluk kini bertukar menjadi paya. Kawasan ini kemudiannya diteroka dan dibangunkan. Namanya diilhamkan dari peristiwa yang dikaitkan dengan "teluk" dan "sisek". Sehingga kini masih terdapat kulit-kulit siput lama di sekitar tasik di belakang kediaman YAB Menteri Besar sebagai bukti bahawa tempat ini dahulunya adalah sebuah teluk.
KAMPUNG JAWA Semasa Estet Batu Talam dibuka untuk tanaman getah, ramai orang-orang Jawa telah bekerja sebagai penoreh getah. Mereka telah membuat penempatan berhampiran Kampung Tengah. Hasilnya kawasan ini akhirnya dikenali sebagai Kampung Jawa.
BUKIT SETONGKOL Kedudukan bukit ini agak ganjil kerana ianya hanya setongkol sahaja jika dibandingkan dengan bukit-bukit yang lain di persekitarannya. Bersesuaian dengan keadaan fizikalnya ini, kawasan ini dinamakan Bukit Setongkol.
BUKIT UBI Sebelum dijadikan kawasan pecah batu, bukit ini telah dijadikan kawasan penanaman ubi kayu oleh penduduk-penduduk tempatan. Makan kekallah namanya Bukit Ubi.
PADANG LALANG Kawasan ini dahulunya adalah sebuah padang yang dipenuhi dengan lalang.
TANJUNG LUMPUR Tanjung yang menghala ke laut ini telah diliputi oleh mandapan lumpur yang banyak. Sejak dari itu, tanjung ini dikenali sebagai Tanjung Lumpur.
GAMBANG Di sini, suatu ketika dahulu terkenal dengan permainan gambang (cak lempung) di kalangan masyarakatnya. Oleh yang demikian tempat ini terus dinamakan Gambang.
ALUR AKAR Di kawasan ini dahulunya beralur dan ditumbuhi pula dengan pokok-pokok hutan tua berakar besar dan berlingkar-lingkar. Keunikan keadaan kawasan ini langsung membawa kepada namanya sekarang.
PERAMU Tukang-tukang rumah bertumpu ke tempat ini untuk mencari bahan-bahan membuat rumah yang terdiri daripada kayu-kayu hutan. Istilah mencari bahan-bahan ini dikenali sebagai "meramu" dan akhirnya menjadi Peramu hingga sekarang.
BESERAH Setelah kematian anaknya iaitu Cik Timah, Haji Senik (penduduk asal Kuantan) telah membuat keputusan meninggalkan Kampung Teruntum yang banyak meninggalkan kisah-kisah sedih. Beliau kemudiannya berpindah ke sebuah kawasan di utara Teruntum. Setelah membuat sebuah penempatan baru, kawasan ini pula diserang sejenis penyakit yang dikenali sebagai "hawar". Semua penduduk di kawasan ini bercadang untuk berpindah ke tempat lain tetapi Hj. Senik meminta mereka bersabar dan berserah kepada Allah SWT. Kerana sikap mesyarakatnya sentiasa bertaqwa dan berserah kepada Allah SWT, maka tempat ini dipanggil "Beserah" sehingga sekarang.